PERKAUMAN
isu-isu perkauman bermaksud
isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa,
dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan,
perbuatan buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya. Dalam konteks
Malaysia, isu-isu sensitif pula membawa erti isu-isu yang melibatkan
perkara-perkara yang sensitif dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan
Melayu, status Bumiputera, kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, sistem kuota dan perkara-perkara stereotype.
Isu-isu ini tidak boleh
dibahaskan, didebatkan atau dibincangkan secara terbuka kerana ia akan membawa
kepada api permusuhan hasil daripada perasaan kurang senang dan tidak berpuas
hati. Isu-isu sensitif ibarat api dalam sekam yang menyala dalam diam-diam
hingga boleh membawa kepada kebakaran. Ini juga adalah salah satu sebab yang
bakal membawa kepada insiden konflik atau pergaduhan antara kaum. Isu-isu
perkauman dan isu-isu sensitif juga melibatkan perlakuan memperlekehkan dan
merendah-rendahkan kaum lain serta mempertikaikan hak orang lain. Termasuk juga
dalam ruang lingkup tafsiran isu perkauman dan isu sensitif ialah ucapan, perbuatan,
perkataan, penerbitan atau sebarang cara yang boleh ditafsirkan sebagai
kecenderungan menghasut (Akta Hasutan 1948).
Isu-isu perkauman dan isu-isu
sensitif boleh menggugat perpaduan dan kesepakatan antara kaum, mewujudkan
huru-hara dan ancaman ketenteraman awam, mencetuskan konflik dan perselisihan
kaum dan konflik antara agama, mewujudkan suasana prejudis, prasangka, dan
hubungan tidak baik antara kaum, menghilangkan semangat toleransi, menimbulkan
suasana tidak aman serta mengurangkan persefahaman bangsa berbilang kaum.
Kesemua elemen-elemen negatif ini akan mengganggu-gugat keharmonian hubungan
antara kaum sehingga menjejaskan perpaduan, menghilangkan kesedaran tentang
kepentingan hubungan antara kaum, merencatkan keselesaan rakyat pelbagai kaum
agar dapat hidup dengan harmoni dan mengusutkan hubungan interaksi antara agama
dan budaya.
PENYEBARAN FITNAH
Jenayah fitnah merupakan satu aktiviti yang tidak
sihat. Ianya boleh berlaku tanpa sempadan serta tidak mengira waktu dan tempat.
Jenayah ini dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai kesedaran nilai-nilai
murni dan tidak bertanggungjawab. Mereka boleh menyiarkan apa-apa saja maklumat
tanpa mengambil kira kesahihan maklumat tersebut. Hal ini menjadi bertambah
runsing apabila setiap maklumat yang disiarkan akan mendapat sambutan daripada
pembaca-pembaca. Lebih menyedikan ramai daripada kalangan pembaca akan
berkongsi maklumat tersebut dengan pihak lain tanpa menganalisis kesahihan
maklumat tersebut.
Budaya menyebarkan fitnah melalui alam siber seperti
facebook, twitter, blog dan sebagainya telah menjadi satu kebiasaan dan semakin
popular dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Malah ianya turut menjadi satu
kewajipan bagi sesetengah individu yang suka menyebarkan berita palsu dan
panas.Tanpa disedari, budaya ini telah memberi kesan yang negatif dalam
kalangan masyarakat dan mendatangkan keburukan kepada pelbagai pihak. Ramai
pembaca yang kebanyakkan daripada mereka mengamalkan konsep setiap apa yang
disiarkan dianggap betul dan tepat. Hal ini amatlah bahaya kerana mereka
mempercayainya seratus peratus tanpa menyelidiknya terlebih dahulu,
Penyebaran fitnah dapat dilakukan dengan mudah
dalam era komunikasi moden sekarang. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk
tujuan kebaikan dan dakwah telah disalah gunakan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (sms), facebook, penulisan
dalam blog, twitter dan email memudahkan penyebaran maklumat dapat dilakukan
tanpa sempadan, tanpa perlu bersemuka, mudah dan kosnya sangat murah. Dengan
kemudahan yang ada dan murah sebagai contoh khidmat pesanan ringkas (sms),
whatsapp tidak memerlukan kos yang tinggi. Hanya memerlukan kos yang sangat
rendah untuk menyebarkan maklumat.
Penyebaran berita yang tidak bertanggungjawab dan
melampau juga boleh membawa kepada kehancuran dan perpecahan dalam masyarakat.
Oleh itu, Islam melarang keras tindakan tidak bermoral dan melanggar batas
agama yang dilakukan oleh penabur-penabur fitnah sehinggakan sanggup mengaibkan
saudara seagama. Jika pada zaman Nabi s.a.w tugas menabur fitnah ini dimainkan
oleh penyair-penyair yang jahat, maka pada hari ini tugas hina ini diteruskan
oleh manusia-manusia yang tidak berakhlak demi mengejar harta dan takhta serta
dendam kesumat yang membara.
UNSUR-UNSUR KHURAFAT DALAM ISLAM
khurafat adalah karut-marut yang tidak
benar sama sekali. Tidak sepatutnya kepercayaan-kepercayaan sedemikian
menghantui umat Islam sehingga menghindarkan perjalanan hidup mereka kerana
kongkongan khurafat itu. Umat Islam perlu bersih niat dan pergantungan mereka
hanya kepada Allah S.W.T sahaja. Disamping itu, amalan khurafat boleh membawa
kepada syirik yang sudah tentu yang menjejaskan akidah seseorang Muslim selain
hanya mengakibatkan dosa yang tidak terampun disisi Allah. Disini, kami
mengupas lebih lanjut tentang unsur-unsur khurafat dalam filem.
Maksud khurafat menurut Kamus Bahasa Arab ialah
cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta ( al
Mujam al Wasit). Manakala menurut Kamus Dewan ialah kepercayaan karut yang di
ada-adakan berpandukan kepada perbuatan-perbuatan dan kejadian alam yang
berlaku. Pegertian khurafat dari segi Islam ialah semua cerita sama ada rekaan
atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan,
pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Berdasarkan takrif
di atas, khurafat merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat
karut dan dusta.
Secara mendalam lagi, amalan khurafat melibatkan
perbuatan, ungkapan kata, cerita atau kisah, benda seperti batu, kayu atau
tanah, konsep prinsip atau aliran fahaman yang dipercayai dan diiktikadkan
dengan yakin boleh mendatangkan manfaat ataupun mudarat kepada seseorang.
Padahal semua itu merupakan sesuatu yang tidak sesekali terdapat dalam sumber
dan suruhan agama Islam yang suci. Dalam masa yang sama bertentangan pula
dengan logik akal yang sihat dan tidak juga bersandarkan realiti kerana ia
merupakan sesuatu yang batil dan tidak langsung mengandungi sebarang unsur
kebenaran.
Ciri-ciri khurafat
Tidak berdasarkan pada nas-nas
syarak ( al-Quran atau hadis Nabi s.a.w)
Cerita-cerita rekaan, dongeng,
khayalan atau karut
Bersumberkan kepada
kepercayaan-kepercayaan lama dan bercanggah dengan Islam.
Menggunakan objek-objek
tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya
Mempunyai unsur-unsur negatif
dari segi akidah dan syariah
Berbentuk pemujaan dan
permohonan kepada makhluk halus.
Bentuk-bentuk amalan khurafat
Kepercayaan kepada keramat
seperti makan, kubur, pokok, kayu, bukit dan haiwan tertentu.
Kepercayaan kepada sial majal
seperti burung atau haiwan tertentu, adat mandi safar, adat mandi membuang
sial.
Kepercayaan kepada kekuasaan
jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis
tepung tawar dan adat semah pantai
Kepercayaan kepada bertambah
dan berkurangnya rezeki yang dikaitkan dengan semangat atau kekuatan anasir
halus atau makhluk tertentu seperti adat memuja semangat padi, bersemah dan
membuang ancak ke sungai dan laut.
Kepercayaan kepada petanda dan
berpantang larang contohnya seperti tidak boleh melihatkan bayi di muka cermin
kerana kelak ia akan mati di dalam air, tidak boleh keluar ketika gagak
berbunyi kerana takut mendapat sial atau bala.
Memuja objek-objek tertentu,
roh nenek moyang kekubur yang dianggap wali atau melakukan upacara menghadirkan
roh.
HIBURAN MELAMPAU
Kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan
masalah sosial yang melibatkan remaja. Perlakuan sosial yang negatif dalam
bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan
masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan
prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan serta agama.
Justeru kita lihat, keruntuhan akhlak dikalangan remaja sebagai tunggak
masa hadapan Negara kini semakin meningkat.Gelaja sosial semakin berleluasa,
keselamatan benda awam terjejas, kesejahteraan ummat juga tidak terkawal.Secara
terperincinya, pelbagai faktor yang menyebabkan kekurangan moral dan keruntuhan
akhlak dikalangan remaja, salah satunya adalah disebabkan “hiburan yang
melampau”.Hal ini boleh digambarkan dengan pelbagai adegan yang berlaku pada
masyarakat kita hari ini.
Hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup
yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.Sedar atau pun tidak, secara
sengaja atau pun kebetulan, budaya hedonisme initelah mula menular masuk sekian
lama dalam kehidupan masyarakat Islam diMalaysia terutamanya dikalangan muda
mudi.
Golongan hedonisme mengambil kira
bagaimana tindakannya boleh memberi kesan terhadap keseronokkan dan kegembiraan
dalam kehidupan sama ada pada masa kini atau akan datang. Oleh itu, tugas
mereka yang utama adalah meningkatkan kadar pengalaman yang menyeronokkan dan
mengurangkan kadar ketidakselesaan seperti kesakitan, kesedihan dan kekecewaan.
Salah satu faktor penting yangmenyumbang
kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa samaada media cetak
atau media elektronik yang memberikan peruntukan yang sangatbanyak kepada aspek
hiburan,.Selain itu, hedonisme terhasil akibat daripada keruntuhan dan
kurangnya keperihatinan dalam institusi kekeluargaan dan kejiranan. Ia bukan
sahaja boleh terjadi dalam keluarga yang berantakan, tetapi juga dalam keluarga
yang berjaya.
Anak-anak muda merasakan tiada sokongan
dan pemahaman dari keluarga terhadap jiwa dan trend dunia mereka. Jiwa ‘rebel’
mereka memilih cara hidup hedonisme sebagai budaya untuk mengisi kekosongan
jiwa melalui pengaruh dan tekanan rakan sebaya (peer pressure) tanpa mereka
sendiri sedari. Akhirnya ada yang sanggup menipu ibu bapa dengan meminta izin
untuk tidur di rumah kawan, sebaliknya pergi berhibur di tempat-tempat lain.
antara kesan hiburan melampau ialah :
- Sikap pentingkan kemewahan.
- Peningkatan kes jenayah.
- Keruntuhan akhlak dalam golongan remaja.
- Terapan nilai nilai negatif.
- Menggagalkan usaha remaja menjadi golongan yang manusia yang sempurna dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi
- Meningkatkan gejala sosial dalam kalangan remaja dan belia
- Menyebabkan generasi muda lupa akan matlamat hidup yang sebenar.
- Menggagalkan usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang berwawasan dan berilmu pengetahuan.
- Golongan remaja dan belia semakin jauh daripada nilai-nilaikeagamaan.
- Maruah keluarga tergadai
No comments:
Post a Comment